Sabtu, 8 Januari 2011

Nota Drama Forum Remaja 2020

Drama Forum Remaja 2020
(Sharif Shaary)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM)


Sinopsis

Forum Remaja 2020 memaparkan peranan dan tanggungjawab tiga orang remaja iaitu Salmah, Chandran dan Chong menjelang tahun 2020. Mereka berjumpa dengan dua orang makhluk Utopia yang yang datang ke bumi untuk menjayakan satu misi.

Kedatangan mereka didorong atas rasa tanggungjawab moral untuk mengingatkan makhluk bumi bahawa situasi kini sudah mencapai tahap kritikal ke arah kemusnahan. Makhluk Utopia memilih Malaysia kerana Malaysia berpotensi untuk dimajukan sebagai sebuah negara model dunia dalam menegakkan keamanan dan peningkatan moral sejagat. Mereka berpendapat segala pembangunan sekarang bukan sumbangan generasi muda yang diwakili oleh Salmah, Chandran dan Chong tetapi sumbangan generasi yang terdahulu. Generasi muda kini belum berbuat apa-apa. Sebagai bakal pemimpin masa depan, remaja perlu mempunyai jati diri yang kental, berilmu pengetahuan dan memiliki moral yang tinggi bagi merealisasikan matlamat tersebut.Masalah keruntuhan moral generasi muda berada dalam satu era kritikal dari segi moral, sosial dan mental. Mereka mesti bersatu padu sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersemangat patriotik dan mengamalkan nilai keagamaan dalam aspek kehidupan.

Apabila kedua-dua makhluk Utopia itu beredar, ketiga-tiga remaja itu pun tersedar dan mereka rupanya bermimpi. Ketiga-tiga remaja itu berbincang tentang kritikan yang diberi oleh makhluk Utopia dan mereka menyetujuinya. Sebagai remaja, mereka perlu merancang strategi kepimpinan untuk merealisasikan pembangunan negara di samping melahirkan generasi yang berdisiplin .

Pemikiran

Peranan dan tanggungjawab remaja untuk merealisasikan Wawasan 2020 yang diwakili oleh watak Salmah, Chandran dan Chong.

Persoalan

1. Persoalan remaja sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.
2. Persoalan tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam diri remaja.
3. Persoalan tentang kepentingan penghayatan nilai keagamaan dalam kehidupan.
4. Persoalan semangat patriotik sebagai pegangan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa.
5. Persoalan tentang jati diri, moral dan ilmu pengetahuan sebagai teras kepada remaja untuk merealisasikan Wawasan 2020.

Plot

Plot drama ini digarap secara kronologi, melalui empat peringkat:

1. Permulaan

Plot dimulakan dengan perbincangan serius antara Salmah, Chandran dan Chong sehingga mereka tertidur.

2. Perkembangan

Kedatangan dua makhluk Utopia ke bumi dengan membawa misi suci dan memilih Malaysia kerana Malaysia mempunyai potensi yang boleh dimajukan sebagai sebuah negara model dunia. Chong berhujah tentang Malaysia yang sudah mempunyai kualiti pembangunan dan bangsa Malaysia mempunyai etika kerja berdasarkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Salmah turut mengemukakan hujah bahawa rakyat Malaysia hidup dalam suasana yang muhibah di samping bangunan pencakar langit yang setanding negara maju. Chandran mahukan penjelasan sebab mereka dipilih untuk berdialog. Makhluk Utopia menjelaskan bahawa mereka merupakan bakal pemimpin negara. Perdebatan sengit berlaku antara tiga sahabat dan dua makhluk Utopia. Hujah tentang keagamaan dan ketuhanan turut diperkatakan oleh Salmah. Agama sepatutnya diutamakan dan dipraktikkan dengan fikiran yang rasional dan niat yang ikhlas serta suci. Perkara yang membimbangkannya ialah keadaan anak muda sekarang yang longgar kepercayaan agamanya yang menjadi punca kemerosotan moral.

3. Konflik

Pada peringkat ini konflik timbul apabila Chandran merasai bahawa mereka sedang bermimpi. Chong berpendapat kemungkinan makhluk itu menyamar. Bagi Salmah, mereka meragui tentang makhluk itu kerana pendapat-pendapat yang bersanggah.

4. Klimaks

Salmah, Chandran dan Chong akhirnya bersetuju akan perkara-perkara yang dihujahkan oleh makhluk Utopia.

5. Peleraian

Akhirnya, tiga sahabat ini menjelaskan bahawa mereka harus merancang strategi kepimpinan untuk merealisasikan perkara yang dihujahkan. Mereka mesti menyelesaikan masalah kemerosotan moral generasi muda dan memperkemaskan disiplin supaya setiap yang dirancang akan lebih berkesan. Mereka harus memulakannya dari sekarang.

Teknik Plot

1. Teknik dialog
Dialog antara watak Salmah, Chandran dan Chong, contohnya
Chandran:Ah, Makhluk Utopia yang berdebat dengan kita tadi tu!
Chong: Entah, aku rasa macam mimpi saja.
Salmah:Tapi, takkanlah ketiga-tiga kita bermimpi serentak?

2. Teknik suspens
Kedatangan dua Makhluk Utopia dan menghampiri Salmah, Chandran dan Chong. Mereka hendak lari.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

1. Salmah· Mahasiswa berusia 22 tahun· Wajah tipikal seorang gadis Melayu dan berkulit sawo matang· Berfikiran objektif, terbuka ,petah dan berani mengemukakan pendapat - Salmah berdialog dengan Chong yang menegaskan bangsa yang maju ialah bangsa yang sanggup menerima kritikan.

2. Chandran· Mahasiswa berusia 22 tahun· Wajah tipikal seorang pemuda India dan fasih berbahasa Melayu· Berperawakan sederhana.· Bijak berhujah,kritis dan banyak memberikan pendapat - Chandran menyatakan pendapatnya bahawa generasi dewasa harus bertanggungjawab atas apa-apa yang berlaku kepada generasi muda.

3. Chong· Mahasiswa berusia 22 tahun· Wajah tipikal seorang pemuda Cina fasih berbahasa Melayu dan bijak berhujah· Mudah emosional dan cepat sejuk - Chong marah kerana tidak bersetuju dengan pendapat Makhluk Utopia bahawa generasi mereka belum buat apa-apa.

Watak Sampingan

1. Makhluk Utopia I dan II· Makhluk asing dari planet Utopia· Watak mereka muncul dalam mimpi· Bijak mengemukakan pendapat - Makhluk Utopia memberikan pendapat bahawa makhluk bumi berada dalam situasi yang kritikal ke arah kemusnahan.

Latar

Latar masa

· waktu petang pada tahun 2020
Latar tempat
· Kampus universiti tempat Salmah, Chandran dan Chong belajar

Latar masyarakat

1. Masyarakat kampus - Salmah, Chandran dan Chong.
2. Masyarakat dari planet Utopia - Makhluk Utopia 1 dan 2.
3. Masyarakat yang bijak berhujah - Salmah dan Chandran berhujah dengan makhluk Utopia.
4. Masyarakat remaja yang cinta akan negara - hujah-hujah Chong menunjukkan cintanya kepada tanah air.

Gaya Bahasa

· Kata ganda, contohnya bangunan-bangunan· Sinkope, contohnya tak ada satu pun yang baik· Peribahasa, contohnya bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Nilai

1. Nilai keberanian - Tiga sahabat berani berhujah dengan makhluk Utopia tentang cabaran untuk membangunkan negara.
2. Nilai cinta akan tanah air - Tiga sahabat menunjukkan kecintaan akan negara dan mahu menjadi pemimpin pada masa akan datang.
3. Nilai baik hati - Makhluk Utopia baik hati dengan menasihati dan memberi teguran kepada penduduk bumi.

Pengajaran

1. Kita hendaklah mengutamakan perpaduan kaum dan mengamalkannya dalam hidup bermasyarakat seperti yang ditunjukkan oleh Salmah, Chandran dan Chong.
2. Remaja hendaklah memahami, menghayati dan mengamalkan nilai keagamaan dalam kehidupan.
3. Remaja hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab dan memiliki jati diri yang kental.
4. Remaja hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan untuk membangunkan negara pada masa hadapan.


1 ulasan:

  1. ckgu terima kasih atas info di atas..ia sangat membantu dalam kerja folio bm saya..:)

    BalasPadam